Bukan perkhidmatan ‘cap ayam’, penggiat pelancongan terbaik terima sijil MyTQA sebagai inisiatif daripada kerajaan

PERCUTIAN antara saat paling berharga berikutan ramai menyimpan wang sepanjang tahun semata-mata untuk menikmati detik melancong yang diharapkan dapat memberikan pengalaman menyeronokkan dan memuaskan.

Tiada apa yang lebih mengecewakan apabila realiti yang diharapkan terhadap destinasi dikunjungi jauh daripada apa yang dibayangkan.

Di Malaysia, industri pelancongan semakin pesat berkembang dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pelancong dalam dan luar negara. Ini kerana Malaysia mempunyai banyak destinasi pelancongan menarik, selain kempen seperti Cuti-Cuti Malaysia dan Tahun Melawat Malaysia yang turut mendorong peningkatan pelancong.

Bagi mengelak tanggapan destinasi yang indah khabar daripada rupa, Kementerian Pelancongan mengiktiraf pusat pelancongan yang memberi perkhidmatan pelancongan pada piawaian terbaik menerusi pemberian sijil Jaminan Kualiti Pelancongan Malaysia (MyTQA).

Sijil ini satu inisiatif kerajaan untuk meningkatkan perkhidmatan dan kualiti kemudahan bagi produk pelancongan di Malaysia. Ia juga satu pengiktirafan kepada produk pelancongan dan memberi pendedahan kepada penggiat industri pelancongan supaya lebih mengutamakan mutu perkhidmatan yang disediakan.

Pengiktirafan MyTQA itu dinilai berdasarkan tujuh kriteria antaranya aspek keselamatan, fasiliti, kebersihan, daya tarikan, amalan lestari, kakitangan yang cekap dan mempunyai laman web menarik dengan objektif meningkatkan keyakinan pelancong ke atas produk pelancongan yang diiktiraf MyTQA.

Selain itu, sijil ini turut mengklasifikasikan produk pelancongan yang menepati tahap piawaian kualiti yang tinggi bagi memuaskan kehendak pelancong domestik dan antarabangsa serta memupuk budaya mengutamakan kualiti produk pelancongan di sektor pelancongan.

PATUNG lilin karakter komik tarik kunjungan.

Pengiktirafan ini diberikan mengikut tema kategori seperti Budaya dan Warisan, Alam Sekitar dan Pengembaraan Buatan Manusia, Sukan dan Rekreasi, Pusat Beli-belah, Pelayaran, Pulau dan Pantai, Taman, Pertanian, Taman Tema, Rumah Ibadat, Restoran Pelancongan dan Pasar Moden Tradisional.

Setakat Mei lalu, sebanyak 39 produk pelancongan di negara ini memperoleh pengiktirafan MyTQA dengan yang terbaru taman tema i-City di Shah Alam, Selangor.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) kementerian, Datuk Yean Yoke Heng berkata, pihaknya yakin i-City akan menjadi antara produk utama pelancongan negara sekali gus mencapai sasaran sebanyak 30 juta pelancong dengan jumlah pendapatan sebanyak RM100 bilion sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Kerajaan yakin i-City akan terus berkembang menjadi destinasi pelancongan utama yang menerima pengunjung dari dalam dan luar negara.

“Selain tarikan seperti Red Carpet 2, Snow Village dan pelbagai aktiviti untuk seisi keluarga yang ditawarkan, i-City turut tersenarai antara lokasi paling bercahaya dan berwarna-warni di dunia oleh CNN Travel,” katanya pada majlis penyampaian sijil itu kepada Timbalan Pengerusi Eksekutif I-Bhd, Eu Hong Chew, baru-baru ini.

Yean berkata, produk pelancongan yang menerima sijil MyTQA berpeluang menyertai kursus latihan kualiti perkhidmatan dan misi perdagangan luar negara anjuran Tourism Malaysia serta memohon Tabung Pinjaman Pelancongan.

“Pelbagai langkah dapat dilakukan bagi memastikan Malaysia menjadi pilihan pelancong tempatan dan luar negara. Oleh itu, kerjasama semua pihak amat diperlukan untuk menjayakan segala program yang dirancangkan oleh kementerian.

“Jika perkhidmatan yang diberikan lebih baik, lebih cekap, lebih murah dan lebih menarik, Malaysia pasti terus dibanjiri kedatangan pelancong asing. Keadaan ini secara tidak langsung dapat merealisasikan impian negara kita untuk menjadi negara yang maju dan terkenal di antarabangsa,” katanya.

PATUNG lilin Ratu Elizabeth II dan suami, Putera Philip, di Red Carpet 2 menarik perhatian Yean.

Share this post

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on print
Share on email
Scroll to Top