i-City Serba Lengkap

PERBANDARAN pintar dengan infrastruktur terancang menjadi imej utama bagi i-City yang kini turut menjadi contoh kepada perbandaran baharu di negeri lain.

Walaupun masih dianggap sebagai perbandaran ‘muda’ kerana baru mencapai usia 15 tahun, i-City terus mengorak langkah dalam sektor hartanah dengan menawarkan pelbagai kemudahan bernilai tinggi.

Terletak di Selangor dengan keluasan 29 hektar, i-City yang dibangunkan i-Berhad bukan saja menjadi daya tarikan utama pelancongan, malah diiktiraf sebagai pusat siber Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia.

Pembangunan terancang i-City menawarkan konsep kehidupan pintar dengan dilengkapi kediaman servis, menara korporat, ruang pejabat siber, hotel, pusat data dan pusat beli-belah.

Pengerusi Eksekutif I-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong berkata, i-City dibangunkan secara terancang dan berstruktur bagi membentuk perbandaran yang teratur.

“I-Berhad melihat potensi yang begitu besar melalui pembangunan perbandaran i-City ini dan kira-kira 50 peratus daripada perancangan keseluruhan i-City sudah dibangunkan.

“I-Berhad memperuntukkan pelaburan yang banyak untuk pembangunan infrastruktur i-City dan disebabkan itu setiap projek yang dibangunkan perlu melalui perancangan teliti, sekali gus memberi impak kepada komuniti dan negara.

“Kami mahu i-City menjadi contoh pembangunan perbandaran pintar di negeri lain dan kami akan memperkasakan lagi bidang teknologi digital untuk diaplikasikan dalam aspek pembangunan perbandaran ini,” katanya kepada P&P di Shah Alam, baru-baru ini.

Beliau berkata, pihaknya komited untuk meningkatkan lagi pembangunan di i-City bagi mencapai sasaran sebagai ‘segi tiga emas’ Selangor.

Menjelang 2020, pihaknya menerusi I-Berhad akan membangunkan projek baharu di i-City yang dinamakan sebagai Becentral.

Lim berkata, sebanyak RM306 juta nilai pembangunan kasar (GDV) diperuntukkan bagi Becentral dengan jumlah 474 unit kediaman dan korporat.

“Becentral adalah salah satu projek yang akan dibangunkan pada tahun depan dan ia membabitkan pembangunan jenis kediaman dan komersial di tengah-tengah i-City.

“Saiz unit ditawarkan pula bermula daripada 632 kaki persegi hingga 794 kaki persegi,” katanya.

Selain itu, tahun depan juga hotel bertaraf antarabangsa di i-City, Double Tree Hotel i-City dijangka mula beroperasi.

Share this post

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on print
Share on email
Scroll to Top